Semua Rezeki Datangnya dari Allah SWT

"Keindahan ISLAM adalah permata dunia".  - Azizi Muhammad


Umat Islam perlu yakin dengan sepenuh-­penuhnya bahawa rezeki terletak dalam kekuasaan Allah atau di tangan Allah, bukan di ta­ngan makhluk.

Mahfum Firman Allah (Saba’:24)
Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepada mu dari langit dan dari bumi?” Katakanlah: “Allah”, dan Sesungguhnya Kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata.

Mahfum Firman Allah (Al-Ankabut:60)
Dan berapa banyak binatang yang tidak (dapat) membawa (mengurus) rezekinya sendiri. Allah-lah yang memberi rezeki kepadanya dan kepadamu dan Dia Maha mendengar lagi Maha mengetahui.

Mahfum Firman Allah (Ali Imran:26):
Katakanlah: “Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Memang banyak ayat-ayat Al-Quran yang merujuk kepada rezeki sebenar yang kita peroleh atau yang hilang daripada kita semua­nya dikembalikan kepada Allah SWT.

Adapun yang dirujuk kepada saya dalam soalan ini, seolah-olah memberi makna bahawa ada manusia yang berikhtiar menutup rezeki orang lain dan mem­buka rezeki seseorang.

Dengan erti kata lain, ada manusia boleh mengkayakan atau memiskinkan manusia dengan kebolehannya, maka tentulah logiknya dia juga boleh membuka rezeki dirinya (untuk memperkayakan diri sendiri), bahawa dengan kekayaan itu dia boleh, membantu orang yang susah dan bukan menyusahkan orang yang sudah senang.

Secara logiknya, membuka rezeki lebih mudah daripada menutupnya. Contohnya, membuat sebuah bangunan lebih susah daripada membukanya. Memasang satu pintu mengambil masa yang lama dan sukar, sebaliknya memecahkan pintu adalah mudah dan sekejap sahaja.

Pada saya mungkin, restoran yang pertama, dibuka awal, tiada saingan, maka dengan sendirinya ramai pelanggan. Manakala restoran lain dibuka, dengan cara yang berbeza, layanan dan makanannya mungkin lebih berkualiti, muka ramai yang tertarik dan mengubah selera.

Sememangnya ada orang me­ngadu kepada saya bahawa pre­mis perniagaannya tidak dapat dilihat oleh pelanggan, seolah-­olah telah ditutup. Terpaksa berpindah ke tempat lain. Sedangkan restoran itu sebenarnya masih dibuka.

Mungkin juga pelanggan tidak perasan wujudnya restoran tersebut. Mungkin juga pelanggan hilang konsentrasi. Sebagai con­toh ada ketika kita pernah kehilangan seuatu benda (cermin mata misalnya), lalu kita mencarinya di merata-rata tempat, setelah puas mencari tidak berjumpa.

Maka isteri, bertanya, “Apakah yang kita cari, kita menjawab mencari cermin mata. Lalu dia memberitahu, “Itu cermin mata ada di atas meja”.

Mengapa selepas kita puas mencari tidak bertemu? Apakah kita disihirkan orang sehingga benda yang begitu mudah tidak dijumpai? Mungkin benar ada orang mengusahakan seperti meletakkan sesuatu yang diper­cayai boleh menyekat rezeki, tetapi yakini lah bahawa semua itu adalah usaha jahat manusia, walhal punca rezeki sebenar-benarnya di tangan Allah.

Bagaimanapun kita mesti berusaha menghindarkan per­buatan jahat manusia, seperti dengki khianat sebagaimana yang disebut dalam Surah an-Naas. Oleh itu, mohonlah kepada Allah, mohon perlindungan kepada-Nya. Carilah sebab-sebabnya mengapa Allah takdirkan kea­daan sedemikian berlaku.

Kepintaran Anak Kecil

Pada zaman dahulu, ada seorang budak yang sangat cerdik atau genius kata orang zaman sekarang. Usianya lebih kurang 7- 8 tahun. Dia sangat cepat mengingat sebarang ilmu yang diajarkan kepadanya.

Ketika itu, ahli sihir @ pendeta diraja telah tua dan ingin mencari pengganti untuk diajarkan ilmu-ilmunya. Maka, raja mengerahkan para pengawal istana untuk mencari seorang budak yang memenuhi kriteria yang diinginkan oleh pendeta tersebut. Maka, budak cerdik tadi telah dipilih..

Setiap hari, budak tersebut akan berulang dari rumahnya yang jauh ke istana untuk belajar ilmu daripada pendeta diraja itu sehinggalah pada suatu hari ketika dia melintasi sebuah kampung, dia terdengar syarahan agama daripada seorang alim ulama. Budak tersebut tertarik dengan ucapan alim ulama tersebut yang jauh berbeza dari apa yang dipelajarinya daripada pendeta selama ini lalu memutuskan untuk berguru dengan alim ulama tersebut. Dia akan berjumpa alim ulama tersebut setiap kali dalam perjalanan pergi dan pulang dari istana.

Pendeta berasa sangat hairan kerana sejak kebelakangan itu, budak itu sering datang lambat ke istana untuk berguru lalu budak tersebut akan didenda. Apabila pulang ke rumah, ibu budak itu pula akan memarahinya kerana lambat tiba di rumah. Perkara ini menyebabkan budak itu berasa tertekan sedangkan dia sangat suka berguru dengan alim ulama tersebut. Lalu dia mengadu masalahnya kepada alim ulama itu.

Budak
 : "Guruku, aku sering dimarahi pendeta diraja kerana lewat ke istana. Manakala ibuku pula sering memukulku kerana lewat tiba di rumah. Sedangkan aku sangat meminati ajaranmu. Jadi bagaimana patut aku lakukan selepas ini?"

Alim ulama
 : "Wahai anak muridku yang bijak, selepas ini andai kau dimarahi oleh pendeta itu, kau katakan bahawa keluargamu menahanmu dari datang awal ke istana. Manakala andai kau dimarahi keluargamu, kau katakan bahawa pendeta menahanmu dari pulang. Namun jangan kau ceritakan tentangku kepada mereka kerana aku khuatir akan terjadi perkara yang buruk kepada kita berdua sehinggalah keadaan mendesakmu untuk bercerita perkara yang sebenarnya."

Budak itu gembira dengan cadangan alim ulama tersebut lalu melakukan sebagaimana yang disuruh. Segalanya berjalan dengan lancar sehinggalah pada suatu hari, ketika dalam perjalanan ke istana, budak tersebut terserempak dengan seekor gajah yang sedang mengamuk dan memusnahkan sebuah kampung. 

Budak itu berfikir: "Inilah masanya untuk aku menguji apa yang kupelajari hari ini dan menguji kebenaran ajaran di antara pendeta dan alim ulama". 

Lalu budak tersebut mengambil sebiji batu dan berkata : "Wahai tuhanku, andai apa yang kupelajari daripada pendeta itu benar, kau matikan gajah ini daripada lontaran batu ini". Namun tiada apa-apa yang berlaku.

Budak tersebut mengambil sebiji batu yang lain lalu berdoa pula : "Wahai tuhanku andai apa yang kupelajari daripada alim ulama ini benar, maka kau matikanlah gajah yang mengamuk ini". Setelah dilemparkan batu tersebut kepada gajah, dengan tidak semena-mena gajah tersebut jatuh menggelepur lalu mati pada saat itu juga. Budak tersebut berasa gembira kerana selama ini dia memang merasakan ajaran alim ulama itu suatu ajaran yang benar.

Apabila tiba di istana, budak tersebut bertemu pendeta seperti biasa. Rupa-rupanya berita budak itu melawan gajah telah diketahui oleh pendeta. 

Lalu pendeta bertanyakan kepada budak itu : " Adakah engkau membunuh gajah itu menggunakan ilmu yang kuajarkan kepadamu?"

Budak : "Tidak sama sekali. Yang membunuh gajah itu adalah tuhanku. Aku tidak berkuasa sama sekali ke atas apa yang berlaku."

Pendeta: "Adakah tuhan yang kau maksudkan itu raja kita?" (pada masa itu, raja dianggap tuhan dan disembah)

Budak : "Tidak. Tuhanku dan tuhan mu adalah sama iaitu Allah. Dialah tuhan sekalian alam."

Jawapan budak itu menjadikan si pendeta tersentak. Berkali-kali dia mengajukan soalan yang sama namun jawapan yang sama juga diberikan oleh budak itu. Akhirnya dia memutuskan untuk menyampaikan berita tersebut kepada raja.

Raja mengarahkan pengawal istana untuk menangkap dan mendera budak tersebut sehinggalah dia memberitahu guru yang mengajarkan ilmu yang lain daripada yang diajarkan oleh pendeta istana itu. Setelah penat disiksa, budak itu akhirnya menceritakan tentang gurunya di alim ulama.

Raja mengarahkan alim ulama itu ditangkap. Alim ulama dan budak itu dibawa ke sebuah padang untuk dihukum.

Raja : "Mengakulah bahawa aku ialah tuhanmu."

Alim ulama: " Tuhanku dan tuhanmu adalah satu iaitu Allah yang Esa."

Berkali-kali soalan yang sama ditanya namun jawapan yang sama diberikan. Lalu raja memenggal leher alim ulama tersebut. Matilah alim ulama itu sebagai seorang syahid.

Seterusnya tiba giliran budak cerdik itu. Ditanya soalan yang sama namun jawapannya sama seperti alim ulama itu. Lalu raja mengarahkan kepada pengawalnya untuk membawa budak itu ke sebuah gunung lalu menolaknya dari gunung itu andai jawapan yang diberikan olehnya masih sama.

Tiba di atas gunung itu, budak itu berdoa kepada Allah. Maka ketika itu gunung bergoyang lalu semua pengawal itu jatuh dan mati. Hanya budak itu terselamat.

Budak cerdik itu kembali ke istana. Raja sungguh marah lalu mengarahkan pula dia dibawa ke tengah laut dan dilemparkan ke dalam laut andai masih berdegil dengan jawapannya.

Tiba di tengah laut, budak itu berdoa kepada Allah. Tiba-tiba datang ombak yang besar lalu menenggelamkan kapal yang membawa budak itu. Semua penumpangnya mati kecuali budak itu.

Budak cerdik itu kembali ke istana. Dia bertemu dengan raja. Raja terkejut melihat budak itu masih hidup.

Budak: "Tuanku tidak boleh membunuh saya sehinggalah tuanku melakukan perkara yang berikut."

Raja
 : "Baiklah. Ceritakan kepada beta."

Budak : "Tuanku perlu mengumpulkan seluruh rakyat jelata negeri ini di suatu padang yang luas supaya mereka semua dapat menyaksikan hukuman mati yang dikenakan ke atasku. Kemudian, tuanku letakkan busur panah tuanku tepat di dadaku dan katakan : "Dengan nama Allah, tuhan budak ini.". Maka selepas itu barulah aku akan mati."

Raja bersetuju dengan cadangan budak itu kerana merasakan dia akan mendapat keuntungan dan seluruh rakyat akan lebih takut kepadanya. Maka dia mengarahkan pengawal istana mengumpulkan seluruh rakyat tanpa mengira usia di suatu kawasan yang luas.

Tiba hari yang dijanjikan, raja bersedia melakukan hukuman tersebut. Dia meletakkan busur panahnya tepat di dada budak itu sambil melaungkan : "Dengan nama Allah tuhan budak ini." Budak itu syahid pada saat itu juga.

Tanpa disangka-sangka oleh raja, seluruh rakyat bangun lalu melaungkan : Kami beriman dengan Allah tuhan budak itu!!Kami beriman dengan Allah tuhan budak itu!!"

Pengawal tergesa-gesa mencari raja lalu memaklumkan bahawa semua rakyat memberontak dan telah beriman dengan tuhan budak yang dibunuh tadi. Perkara yang paling ditakuti oleh raja telah berlaku. Lalu raja mengarahkan pengawalnya mengorek sebuah lubang bear lalu dipasangkan api didalamnya. Setiap rakyat yang tidak mahu mengakui dia sebagai tuhan akan ditolak dan dibakar hidup-hidup di dalam api itu.

Seorang demi seorang rakyat telah ditolak ke dalam api lalu dibakar hidup-hidup kerana tidak mahu menukar keimanan mereka. Tibalah giliran seorang ibu dengan anak yang masih kecil di dalam pelukannya.

Ibu tersebut teragak-agak di depan api tersebut apatah lagi memandangkan anaknya yang masih kecil. Tiba-tiba anak kecil itu bersuara:"Jangan takut wahai ibuku. Sesungguhnya kita berada di pihak yang benar." 

Maka seluruh rakyat dibakar hidup-hidup. Mereka merasai sakit yang hanya sekejap sedangkan syurga yang indah menanti mereka selaku syahid di jalan Allah.

Tidak lama selepas itu, raja dan para pengikutnya dilanda bencana dan mereka semua mati dalam keadaan yang lebih mengaibkan dan bakal diazab pula oleh Allah dengan azab yang dahsyat. Subhanallah..


----------------------------------------------------
Semoga ia manfaat kepada semua. Semoga ia mendidik jiwa.

10 Pesanan Untuk Nabi Musa



ABUL-LAITS Assamarqandi meriwayatkan kepada sanadnya daripada Jabir bin Abdillah berkata, Rasulullah bersabda bermaksud: “Allah telah memberikan kepada Nabi Musa bin Imran pesanan dalam 10 perkara:

1. Wahai Musa jangan menyekutukan Aku dengan suatu apa pun bahawa Aku telah memutuskan bahawa api          
    neraka akan menyambar muka orang Musyrikin.

2. Taatlah kepada-Ku dan kedua orang tuamu nescaya Aku peliharamu daripada sebarang bahaya dan akan  
    Aku lanjutkan umurmu dan Aku hidupkan kamu dengan penghidupan yang baik.

3. Jangan sekali-kali membunuh jiwa yang Aku haramkan kecuali dengan hak nescaya akan menjadi sempit  
    bagimu dunia yang luas dan langit dengan semua penjurunya dan akan kembali engkau dengan murka-Ku  
    ke dalam api neraka.

4. Jangan sekali-kali sumpah dengan nama-Ku dalam dusta atau durhaka sebab Aku tidak akan  
    membersihkan orang yang tidak menyucikan Aku dan tidak mengagung-agungkan nama-Ku.

5. Jangan hasad dengki dan iri hati terhadap apa yang Aku berikan kepada orang lain, sebab penghasut itu  
    musuh nikmat-Ku, menolak kehendak-Ku, membenci kepada pembahagian yang Aku berikan kepada  
    hamba-hamba-Ku dan sesiapa yang tidak meninggalkan perbuatan itu, maka bukan daripada-Ku.

6. Jangan menjadi saksi terhadap apa yang tidak engkau ketahui dengan benar-benar dan engkau ingati 
    dengan akalmu dan perasaanmu sebab Aku menuntut saksi-saksi itu dengan teliti atas persaksian mereka.

7. Jangan mencuri dan jangan berzina dengan isteri jiran tetangga sebab nescaya Aku tutup wajah-Ku  
    daripadamu dan Aku tutup pintu-pintu langit daripadanya.

8. Jangan menyembelih korban untuk selain daripada-Ku sebab Aku tidak menerima korban kecuali yang 
    disebut nama-Ku dan ikhlas untuk-Ku.

9. Cintailah terhadap sesama manusia sebagaimana yang engkau suka terhadap dirimu sendiri.

10. Jadikan Sabtu itu hari untuk beribadat kepada-Ku dan hiburkan anak keluargamu. Kemudian Rasulullah 
      bersabda lagi : 


     “Sesungguhnya Allah menjadikan hari Sabtu itu hari raya untuk Nabi Musa dan Allah 
      memilih hari Jumaat sebagai hari raya untukku.”

Pesanan & wasiat IMAM AL-GHAZALI

Imam al-Ghazali pernah berwasiat agar ditinggalkan 4 perkara bagi menjaga keelokkan akhlak iaitu :

1. Janganlah kamu suka berbahas dengan seseorang mengenai sesuatu perkara seboleh yang mungkin kerana ia lebih banyak
    mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Ia adalah punca akhlak buruk seperti riya', hasad dengki, bermusuhan, bangga
    diri dan sebagainya. Jika terpaksa juga berbahas maka kamu mesti mempunyai 2 tanda pada niat dalam hatimu iaitu :
    a. Kamu mengakui sesuatu kebenaran tidak kira ia berada di sebelah kamu atau pihak lain
    b. Kamu lebih suka mencari kelemahan dirimu daripada mencari kelemahan orang lain

2. Elakkan dirimu daripada menjadi pendakwah yang mengajak kepada kebaikan sekiranya kamu sendiri belum
    melaksanakannya

3. Jangan bergaul dengan pemimpin atau pembesar yang zalim malah jika boleh jangan berjumpa dengan mereka kerana lebih
    banyak padahnya daripada faedah

4. Jangan menerima sebarang pemberian daripada golongan pembesar walau pun kamu tahu pemberian itu adalah daripada
    sumber yang halal kerana dibimbangi kamu akan terhutang budi sehingga takut untuk menegur kesalahannya

Imam al-Ghazali pernah berpesan agar dilakukan 4 perkara berikut agar dapat cantikkan akhlak iaitu :

1. Bermu'amalat atau berurusanlah dengan Allah sebagaimana kamu suka orang bawahanmu berurusan denganmu. Kami tidak
    berasa bingung atau marah dengannya. Apa yang kamu tidak suka dilakukan oleh orang bawahanmu maka Allah juga tidak
    suka perlakuan sedemikian kerana Allah itu adalah Tuhanmu yang hakiki

2. Setiap kali kamu bekerja dengan orang lain maka perbuatlah sebagaimana kamu mahu diperbuat ke atas dirimu kerana tidak
    sempurna keimanan seseorang itu selagi dia tidak suka orang lain memperolehi sesuatu yang dia sendiri menyukainya

3. Sekiranya kamu hendak mempelajari sesuatu maka pilihlah ilmu yang dapat memperbaiki hati dan menghidupkan jiwamu.
    Sekiranya kamu tahu umurmu hanya tinggal seminggu sahaja lagi nescaya kamu hanya mempelajari ilmu untuk mengawasi
    hatimu dan berusaha melepaskan diri daripada belenggu dunia

4. Jangan mengumpul harta dunia lebih daripada keperluanmu untuk tempoh setahun kerana Rasulullah s.a.w sendiri hanya
    menyediakan bekalan terhadap isteri-isteri baginda untuk tempoh sehari setengah sahaja.

10 Wasiat As-Syahid Imam Hassan Al-Banna

1) Apabila saudara mendengar azan, maka bangunlah untuk bersolat pada waktunya walau bagaimana keadaan sekalipun.

2) Bacalah Al-Quran, atau tatapilah buku-buku, atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik ataupun amalkanlah
    Zikrullah, dan janganlah sama sekali saudara membuang masa walau sedikit pun dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah.

3) Berusahalah seberapa daya upaya untuk bertutur dalam Bahasa Arab yang betul (Fusha), kerana bahasa Arab yg betul itu
    adalah merupakan syiar-syiar Islam.

4) Janganlah banyak berselisih dalam apa-apa perkara sekalipun kerana perselisihan kosong itu tidak memberi sebarang apa
    kebaikan jua pun.

5) Janganlah banyak ketawa, kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu, sentiasa tenang lagi tenteram.

6) Jangnlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam
    setiap perkara.

7) Janganlah saudara bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikhendaki oleh para pendengar, kerana percakapan yang
    nyaring begitu adalah suatu tabiat yang sia-sia malah menyakiti hati orang lain.

8) Jauhilah daripada mengumpat-umpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan lain, dan janganlah bercakap
    melainkan apa-apa yang boleh memberi kebajikan.

9) Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudara seAqidah yang saudara bertemu dengannya sekalipun ia tidak meminta
    saudara mengenalinya; kerana asas gerakan Dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

10) Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita; oleh itu, bantulah saudaramu sendiri tentang
     cara-cara bagaimana hendak mengguna masa dgn berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri maka segerakanlah
     perlaksanaannya.

Wasiat Nabi junjungan kepada Saidina Ali R.A


Wahai Ali, Bagi orang mukmin ada 3 tanda-tandanya :
      1) Tidak terpaut hatinya pada harta benda dunia
      2) Tidak terpesona dengan pujuk rayu wanita
      3) Benci terhadap perbualan dan perkataan sia-sia

Wahai Ali,
Bagi orang alim itu ada 3 tanda-tandanya :
      1) Jujur dalam berkata-kata
      2) Menjauhi segala yang haram
      3) Merendahkan diri

Wahai Ali,
Bagi orang yang takwa itu ada 3 tanda-tandanya :
      1) Takut berlaku dusta dan keji
      2) Menjauhi kejahatan
      3) Memohon yang halal kerana takut jatuh dalam keharaman

Wahai Ali,
Bagi orang yang jujur itu ada 3 tanda-tandanya :
      1) Merahsiakan ibadahnya
      2) Merahsiakan sedekahnya
      3) Merahsiakan ujian yang menimpanya

Wahai Ali,
Bagi ahli ibadah itu ada 3 tanda-tandanya :
      1) Mengawasi dirinya
      2) Menghisab dirinya
      3) Memperbanyakkan ibadah kepada ALLAH s.w.t.